
Laporan/foto: Aiman Alimin/Noor Haswan (Kelantan)
KOTA BHARU, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Seni tradisi wayang kulit Kelantan terus berperanan sebagai medium perpaduan masyarakat berbilang kaum serta wahana memperkenalkan warisan budaya negara ke peringkat antarabangsa.
Penggiat seni, Lily Kang bersama Tok Dalang (Kang Boon Ann) terus aktif memperjuangkan seni ini merentasi sempadan budaya dan bangsa, sekali gus mencerminkan keterbukaan wayang kulit sebagai warisan milik bersama.
Menurut Lily, seni wayang kulit mempunyai nilai universal yang mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Seni ini menghimpunkan masyarakat untuk menikmati persembahan bersama serta memupuk semangat keharmonian dan kebersamaan,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.
Sementara itu, Kang berkata persembahan wayang kulit bukan sekadar hiburan, malah menjadi medium pendidikan yang menyampaikan nilai kemanusiaan dan perpaduan.
“Kami pernah membuat persembahan di luar negara serta di pentas berprestij, termasuk di Thailand dan Parlimen Malaysia, sekali gus membawa seni ini ke peringkat antarabangsa dan nasional yang lebih luas,” ujarnya.
Penglibatan berterusan dalam beberapa siri persembahan di Thailand antara tahun 2015 hingga 2019 serta penyertaan dalam acara kebudayaan bertaraf rasmi membuktikan seni wayang kulit Kelantan mempunyai daya tarikan merentas sempadan dan mampu berfungsi sebagai duta budaya Malaysia di mata dunia.
Seni wayang kulit Kelantan turut dilihat berpotensi tinggi untuk terus diangkat sebagai warisan budaya dunia di bawah pengiktirafan UNESCO, selain menjadi simbol identiti, perpaduan dan kebanggaan negara yang wajar terus dipelihara sebagai khazanah budaya negara.
-AA-





