
Laporan/foto: Loseyeffer Molly (Bau) / Eddie Allan Blanking (JAPEN Sarawak)
BAU, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Program Ngaruom Rami Borneo 2026 bertemakan ‘United by Heritage, Celebrate Through Culture’ menjadi medium memperkukuh hubungan persaudaraan, kerjasama dan persefahaman antara masyarakat Sarawak dan Indonesia melalui perkongsian warisan budaya serumpun Borneo.
Konsul Jenderal Republik Indonesia, Dr. Abdullah Zulkifli berkata hubungan erat yang sekian lama terjalin antara Sarawak dan wilayah Kalimantan, khususnya Sanggau, perlu terus diperkasa menerusi pelbagai bentuk kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua belah sempadan.
“Persamaan sejarah, budaya dan nilai kekeluargaan yang dikongsi masyarakat Borneo menjadi asas kukuh dalam memperluaskan kerjasama strategik melibatkan sektor kebudayaan, pelancongan, ekonomi serta pembangunan komuniti.
“Program seperti ini bukan sahaja meraikan kepelbagaian budaya masyarakat Borneo, malah menjadi wadah untuk memperkukuhkan jaringan persahabatan, persefahaman dan kerjasama rentas sempadan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Bau Culture Centre (BCC), di sini semalam.
Beliau turut menegaskan komitmen Indonesia untuk terus mendukung usaha memperkukuh hubungan dua hala agar ikatan persaudaraan masyarakat serumpun terus terpelihara demi kesejahteraan bersama.
“Kami sentiasa bersedia untuk mendukung kerjasama yang produktif antara Malaysia dan Indonesia bagi memastikan hubungan persaudaraan serumpun yang telah lama terbina terus terpelihara dan semakin kukuh pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penduduk tempatan, Penghulu Sumy Lidei, 53, berkata penyertaan delegasi dari Sanggau bersama masyarakat Bau membuktikan hubungan Sarawak dan Indonesia terus berkembang dalam suasana muhibah berasaskan warisan budaya yang dikongsi bersama.
“Walaupun dipisahkan oleh sempadan negara, masyarakat di kedua-dua wilayah sebenarnya berkongsi banyak persamaan dari segi budaya, bahasa, adat resam dan nilai kekeluargaan, malah hubungan ini bukan sekadar hubungan diplomatik, tetapi hubungan persaudaraan yang diwarisi turun-temurun,” katanya.
-FN




