Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Penantian Hampir Empat Dekad Berakhir, Peneroka FELDA Rentam Terima Hakmilik Tanah

By 27 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Yamuna/Irma Diana (Bera)

BERA, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Penantian hampir 40 tahun akhirnya berakhir apabila 62 peneroka FELDA Rentam menerima Suratan Hakmilik Tanah dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Gemilang, Majlis Daerah Bera, di sini kelmarin.

Surat hakmilik tersebut telah disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, sekali gus memberikan jaminan pemilikan tanah yang sah kepada para peneroka yang telah sekian lama mengusahakan tanah rancangan itu.

Ketua Peneroka FELDA Rentam, Hamidie Sulaiman, 62, berkata penerimaan surat hakmilik tersebut menamatkan segala keraguan dan penantian yang telah berlarutan sejak sekian lama.

“Pada mulanya ada peneroka yang bimbang tanah ini akan terlibat dengan pembangunan pada masa hadapan dan menyebabkan hak milik tidak dapat diperoleh.

“Namun hari ini segala keraguan itu terjawab apabila sebahagian besar peneroka telah menerima surat hakmilik masing-masing,” katanya.

Penyampaian surat hakmilik ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan warga FELDA terus terpelihara, selain mengiktiraf sumbangan peneroka yang telah memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor pertanian dan ekonomi luar bandar negara.

FELDA Rentam yang mula dibangunkan sekitar tahun 1986 merupakan antara rancangan tanah bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar menerusi sektor perladangan dengan menempatkan seramai 485 peneroka untuk mengusahakan tanaman komoditi sebagai sumber pendapatan utama mereka.

-AA-

Tinggalkan komen anda