
Laporan/foto: Mastura Mohamed Rowther/Facebook Kementerian Ekonomi
BAYAN LEPAS, 11 Jun (MalaysiaAktif) – Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) komited menjadikan Pusat Teknologi dan Inovasi (NTIC) sebagai pemacu baharu ekosistem semikonduktor bernilai tinggi negara dengan sasaran menarik pelaburan baharu berjumlah RM8.5 bilion menjelang 2030, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Menurut Akmal, sasaran itu akan digerakkan menerusi Advanced Packaging Institute and Research Centre (APIRC), komponen utama NTIC yang dibangunkan bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
“APIRC akan memberi tumpuan kepada penyelesaian AP daripada peringkat reka bentuk hingga penghasilan prototaip dengan bidang ini semakin strategik dalam industri semikonduktor global kerana ia menentukan prestasi, kecekapan tenaga, saiz dan kebolehgunaan cip generasi baharu,” katanya ketika berucap pada perasmian NTIC, di sini semalam.
APIRC juga berperanan menghubungkan syarikat tempatan dan multinasional bagi mengkomersialkan harta intelek, membangunkan produk baharu serta memperkukuh keupayaan tempatan dalam rantaian nilai berimpak tinggi.
Pada masa sama, APIRC disasar melahirkan 12 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan sebagai pemain dalam ekosistem pembungkusan termaju, manakala NTIC akan mempercepat pembangunan bakat berkemahiran tinggi, inovasi dan industri masa depan yang berdaya saing di Wilayah Utara.
Akmal menegaskan manfaat NTIC perlu dinikmati seluruh Wilayah Utara meliputi Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak menerusi peluang rantaian bekalan, pembangunan bakat, kerjasama industri serta pelaburan berkualiti yang mampu mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan meningkatkan pendapatan rakyat.
Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata sejak 2023, NTIC telah merealisasikan pelaburan kumulatif RM70 bilion, melantik 25 penyedia Pusat Kecemerlangan (CoE), meningkatkan rantaian nilai 68 syarikat tempatan serta menghasilkan 16 harta intelek di Wilayah Utara.
Selain itu, NTIC berjaya membangunkan 1,452 bakat berkemahiran tinggi, dengan 58 peratus daripadanya menerima kenaikan gaji atau pangkat, di samping mewujudkan 5,074 peluang pekerjaan.
-AA-




