Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Raja Perlis Berkenan Rasmi Bangunan Baharu JPN

By 6 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 11 Jun (MalaysiaAktif) – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan bangunan baharu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), di sini semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata bangunan yang siap dibina Oktober tahun lepas itu dilengkapi kemudahan untuk tujuan pentadbiran, surau bercirikan seni bina Islamik moden serta dewan serbaguna berkapasiti 400 hingga 500 orang.

“Saya menaruh harapan yang tinggi agar seluruh warga JPN Perlis menjadikan perpindahan ke premis baharu ini sebagai titik tolak untuk meningkatkan sistem penyampaian kita.

“Kurangkan kerenah birokrasi, tingkatkan sinergi dengan rakan strategik serta pastikan slogan ‘Pendidikan Nadi Negara’ benar-benar diterjemahkan dalam gerak kerja seharian,” katanya ketika berucap.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melaksanakan 35 projek pembangunan pendidikan di Perlis melibatkan peruntukan RM73.79 juta.

KPM juga katanya menyalurkan RM20.1 juta bagi kerja penyelenggaraan dan baik pulih institusi pendidikan di negeri itu sehingga kelmarin.

“Projek Pembinaan Fasa 1 Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang dijangka siap pada Januari 2027 pula bakal menjadi pemangkin pembangunan bakat sukan dan ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata projek itu merangkumi pembinaan blok pentadbiran, blok akademik dengan 12 bilik darjah, kantin, asrama lelaki dan perempuan, dewan makan, astaka utama serta pelbagai kemudahan sukan bertaraf piawai.

Tahun 2026 menjadi detik bersejarah apabila pelancaran Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuka lembaran baharu pendidikan negara menerusi pelan pembangunan pendidikan selama sedekad berteraskan aspirasi Malaysia MADANI bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara secara menyeluruh.

-FN

Tinggalkan komen anda