Skip to main content
Berita TempatanLabuan

OPA Sabah Tumpu Lima Kawasan Empangan

By 8 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin(Labuan)

LABUAN, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Operasi Pembenihan Awan (OPA) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memberi tumpuan kepada lima kawasan tadahan air strategik di negeri Sabah.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) NADMA, Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar berkata keadaan atmosfera semasa adalah sesuai untuk pelaksanaan pembenihan awan di lima lokasi melibatkan Empangan Babagon, Empangan Tenom Pangi, Empangan Cinta Mata, Empangan Kogopon dan Empangan Ulu Padas.

Pelaksanaan operasi itu katanya merupakan siri pertama di Sabah bagi tahun ini bermula semalam hingga esok hasil permohonan kerajaan negeri Sabah menerusi penyelarasan bersama NADMA, MET Malaysia, Jabatan Bekalan Air Labuan dan TUDM.

“Operasi ini memberi tumpuan kepada kawasan tadahan air strategik bagi membantu meningkatkan taburan hujan dan mengekalkan paras simpanan air yang diperlukan oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pelaksanaan OPA itu merupakan langkah mitigasi awal bagi memastikan sumber air negara terus terpelihara selain mengurangkan impak cuaca panas dan kering berpanjangan terhadap kehidupan masyarakat, sektor pertanian, industri serta ekonomi setempat.

“NADMA telah menyelaras 11 siri OPA melibatkan 33 penerbangan di seluruh negara bermula bulan Februari yang lalu merangkumi zon utara, selatan, timur, Sabah termasuk di negeri Sarawak yang akan dibuat minggu hadapan.

“Pelaksanaan OPA di Sabah hari ini melengkapkan usaha kerajaan untuk memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi Monsun Barat Daya dan potensi kesan fenomena El Nino kuat yang dijangka mempengaruhi taburan hujan sehingga awal tahun hadapan,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda