Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pesta Jeti Santaba Perkasa Pelancongan Komuniti Ekonomi Setempat

By 16 seconds yang laluTiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Sumardi Sugiman/Mohd Rizal Sabtu (Limbang)

LIMBANG, 27 Jun (MalaysiaAktif) – Pesta Jeti Santaba 2026 Edisi Ke-4 yang berlangsung selama dua hari bermula 27 Jun di Kampung Patiambun berjaya menarik kehadiran pengunjung luar menerusi pelbagai aktiviti kebudayaan.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Ismail berkata penganjuran pesta itu bertujuan mempromosi Jeti Santaba sebagai destinasi pelancongan komuniti berpotensi di Bahagian Limbang.

“Program ini bukan sahaja berjaya memperkukuh perpaduan komuniti setempat, malah membuka peluang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan serta merancakkan sektor pelancongan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahman, dua keutamaan perlu diberi perhatian bagi memperkukuh daya saing jeti berkenaan adalah mempromosikan pakej eko-pelancongan berasaskan alam semula jadi seperti monyet Proboscis dan kelip-kelip, selain memastikan penyelenggaraan berkala kemudahan awam demi keselamatan pengunjung.

Pesta tersebut katanya menyediakan pelbagai pengisian termasuk pertandingan mengail, lumba berkayuh, menganyam ketupat, pertandingan memasak, tarik tali dalam gubang, karaoke, malam kebudayaan bermukun serta aktiviti jualan produk tempatan.

Beliau menjelaskan penganjuran pesta itu bukan sahaja menghidupkan sektor pelancongan komuniti, malah membantu memperkasa perusahaan kecil serta memacu ekonomi penduduk setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda