
Laporan/foto: Manjasari Shamsudin (Sepang)
SEPANG, 11 Jun (MalaysiaAktif) – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mengadakan siri Jelajah Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0 di Sepang, semalam.
Baginda telah meninjau tapak kemudahan rekreasi di Kampung Bagan Lalang yang bakal dinaik taraf melalui peruntukan RM500,000.
Siri jelajah kali ini juga membawa impak besar buat penduduk setempat apabila dua lokasi terpilih bakal menerima suntikan dana pembangunan berjumlah keseluruhan RM1 juta.
Peruntukan daripada Kerajaan Negeri dengan kerjasama Yayasan Menteri Besar Selangor (MBI) selaku badan pelaksana itu bertujuan memastikan agenda pembangunan seimbang dapat dinikmati secara langsung oleh masyarakat akar umbi.
Tengku Amir kemudian melawat Jeti Kampung Jelutong Indah di Sungai Pelek yang menjadi nadi nelayan tempatan serta laluan alternatif ke Negeri Sembilan yang turut tersenarai menerima dana berjumlah RM500,000 bagi projek baik pulih dan penyelenggaraan infrastruktur.

Raja Muda Selangor berkenan mendengar taklimat daripada Dr. Ani berkenaan Kebun Bandar @ Cyberjaya yang merupakan hab pelancongan agro-pendidikan bertaraf antarabangsa.
Dalam memastikan pembangunan rohani dan komuniti berjalan seiring, Raja Muda Selangor turut melawat Surau Serin Residence di Cyberjaya bagi meninjau kerja-kerja naik taraf kemudahan di kawasan perumahan tersebut.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail berkata semua lokasi itu dipilih berdasarkan gagasan yang diilhamkan sendiri oleh baginda demi membantu menaik taraf kehidupan masyarakat.
Beliau berkata GRS 1.0 melihat kepada pembangunan keseluruhan manakala siri GRS 2.0 pula lebih memfokuskan kepada usaha melonjakkan ekonomi dan kualiti kehidupan masyarakat setempat.
Satu lagi lokasi yang mencuri tumpuan dalam siri lawatan baginda ialah Kebun Bandar @ Cyberjaya di bawah pengurusan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).
Berkeluasan 10 ekar, kawasan bertemakan “Discover Nature for Future” itu merupakan hab pelancongan agro-pendidikan bertaraf antarabangsa yang berjaya membawakan suasana desa yang tenang ke dalam rancaknya bandar pintar.
Kebun bandar ini telah membuktikan kejayaannya apabila fasa pertama dan kedua yang bermula sejak 2024 berjaya menuai 400 kilogram padi daripada spesies tahan penyakit Mardi Siraj 297, di samping penanaman 400 pokok buah-buahan premium seperti durian duri hitam serta pemeliharaan 150 spesies pokok nadir termasuk sentul dan sukun.
-RI




