
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah) / IPD Mukah
MUKAH, 10 Jul (MalaysiaAktif) – Polis telah memotong bekalan elektrik di sebuah premis yang digunakan bagi menjalankan aktiviti perjudian di Jalan Kampung Pinang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata ia sebagai tindakan susulan terhadap premis yang sebelum ini telah diserbu pihak polis, dengan pengendalinya telah didakwa di mahkamah kerana menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.
“Tindakan pemotongan bekalan elektrik dibuat mengikut peruntukan Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membolehkan bekalan utiliti diputuskan bagi premis yang digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian haram.
“Langkah ini bertujuan memastikan premis berkenaan tidak lagi digunakan untuk sebarang aktiviti perjudian yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata notis pemotongan bekalan elektrik turut diserahkan kepada pemilik premis yang berada di lokasi ketika operasi dijalankan, manakala operasi pada 9 pagi membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah dan Sarawak Energy Berhad (SEB) itu berjalan lancar tanpa sebarang bantahan atau insiden yang tidak diingini.
-RJ-




