Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Dataran Sungai Dipang Bukti Kejayaan Projek SejaTi MADANI Perkasa Ekonomi Komuniti

By 3 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorhayati Ab Aziz (Kampar)/Isma Amil

KAMPAR, 1 Jul (MalaysiaAktif) – Projek Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sahom berjaya mentransformasikan Dataran Sungai Dipang menjadi produk ekopelancongan baharu yang bukan sahaja menarik kehadiran pelancong, malah membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Pengerusi JPKK Kampung Sahom, Isma Amil Lokman, 29, berkata projek tersebut bertujuan memperkasakan sektor pelancongan desa, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti.

“Melalui projek ini, kami menyediakan pelbagai kemudahan seperti sewaan ATV, tapak perkhemahan (campsite) dan kawasan riadah bagi menarik lebih ramai pengunjung.

“Secara tidak langsung, ia membuka peluang pekerjaan dan menambah sumber pendapatan penduduk Kampung Sahom,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Kawasan parkir masuk percuma mendorong minat pengunjung.

Menurut beliau, sambutan daripada pengunjung tempatan dan luar negara yang semakin memberangsangkan mendorong JPKK untuk terus menambah baik kemudahan yang disediakan.

“Terbaharu, kami telah membina tandas dan bilik mandi bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.

“Kami juga merancang untuk menambah lagi kemudahan pada masa hadapan selaras dengan peningkatan jumlah pengunjung,” katanya.

Beliau berkata ketika musim durian, pengunjung turut berpeluang menikmati durian kampung yang ditanam oleh penduduk setempat secara terus dari kebun, selain membelinya pada harga yang lebih berpatutan sebagai buah tangan.

Tambah beliau lagi, perkembangan sektor ekopelancongan melalui Projek SejaTi MADANI turut merancakkan ekonomi Kampung Sahom yang sebelum ini lebih tertumpu kepada sektor pertanian.

Terletak kira-kira 10 hingga 15 minit dari bandar Kampar, Dataran Sungai Dipang menawarkan suasana rekreasi berkonsepkan alam semula jadi dengan aliran sungai yang jernih, panorama gunung-ganang serta pelbagai kemudahan riadah yang sesuai untuk seisi keluarga.

Keunikan Kampung Sahom terserlah menerusi kedudukan geografinya yang dikelilingi Gunung Bujang Melaka, Gunung Kinta dan Gunung Gajah, selain memiliki rangkaian 32 batang sungai termasuk Sungai Dipang yang menjadi nadi kehidupan penduduk sejak turun-temurun.

Kini, kampung itu mempunyai beberapa resort, chalet serta 12 kawasan perkhemahan yang menjadi pilihan pencinta alam dan aktiviti rekreasi.

-RI

Tinggalkan komen anda