Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Hayati Bersekutu Bertambah Mutu, Perkukuh Perpaduan Kaum

By 14 jam yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi (Putrajaya)/JAPEN

IPOH, 19 Jul (MalaysiaAktif) – Rakyat diseru untuk menghayati slogan Bersekutu Bertambah Mutu sebagai salah satu usaha untuk memperkukuh perpaduan antara kaum.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata slogan itu membawa makna besar kerana ia menekankan keperluan untuk rakyat melihat perbezaan sebagai suatu perkara unik yang membawa manfaat kepada kemajmukan negara.

“Cuba kita renung sejenak mengapa tokoh negarawan pilih Bersekutu Bertambah Mutu? Maknanya kalau kita bersatu, maka mutu akan bertambah. Itu logiknya.

“Jadi, kenapa generasi sekarang perlu berfikiran untuk berpecah dan terpengaruh dengan sentimen politik mana-mana pun yang tidak bersekutu?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2026, di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Menurut Anwar, kemerdekaan juga adalah suatu yang mustahil jika tidak wujudnya nilai kebersamaan.

“Adakah baru tahu adanya Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan? Tidakkah kita tahu ketika negara mencapai kemerdekaan juga ada penyertaan semua? Semua tahu. Jadi, kenapa perlu pertikaikan? Dan nafikan penglibatan semua. Itu tidak boleh,” tegasnya.

Justeru, beliau menggesa rakyat untuk mengetahui kaedah memaknai dan menjayakan kemerdekaan yang diraikan ketika ini kerana beliau percaya melaluinya Malaysia boleh diangkat sebagai sebuah negara yang hebat.

Beliau berkata Perak yang dahulunya hanya terkenal dengan industri bijih timah dan pembalakan kini berjaya menempa nama sebagai antara pusat pengeluaran kenderaan terkemuka di rantau ini.

“Ini ertinya pengisian. Bukan tinggalkan pertanian…itu semua perlu. Tapi, apa yang saya nak sebut, ini matlamat kita iaitu menumpukan ke arah membangunkan negara Malaysia tercinta.

“Kita gunakan kekayaan ini untuk semaikan kemerdekaan. Kita pastikan program Sumbangan Tunai Rahmah, SARA dan bantuan anak-anak sekolah, untuk buku diteruskan walaupun kosnya lebih RM20 bilion. Kita naikkan gaji dan upah penjawat awam,” katanya.

Anwar turut menyeru anak muda untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga kerana mewakili generasi yang merasai dan memahami keperitan dijajah kuasa asing, beliau mahu Malaysia kekal merdeka, berdaulat dan terus diangkat hebat di rantau ini.

MPBKKJG 2026 menandakan permulaan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 dan rakyat diseru untuk bersama-sama menzahirkan semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing serta menyokong pelbagai program anjuran kementerian, jabatan, agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.

-FN

Tinggalkan komen anda