Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Generasi Hari Ini Pikul Tanggungjawab Pastikan Negara Terus Aman, Bersatu Padu – Saarani

By 16 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Mohammad Ezwandi (Perak)

IPOH, 19 Jul (MalaysiaAktif) – Tanggungjawab generasi hari ini bukan sekadar mewarisi kemerdekaan, sebaliknya memikul peranan besar bagi memastikan negara terus aman, bersatu padu dan mampu menyediakan kehidupan lebih baik untuk masa depan.

Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata kemerdekaan bukan sekadar membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajahan, tetapi turut merangkumi usaha memastikan rakyat hidup dalam keadaan stabil serta mempunyai keyakinan tinggi terhadap masa depan.

Beliau berkata walaupun landskap cabaran hari ini sudah berubah kepada persaingan ekonomi yang sengit, ketidaktentuan global dan perubahan teknologi yang pantas kerana kekuatan sesebuah negara tetap bersandarkan kepada perpaduan rakyatnya.

“Negara boleh dibina dengan pembangunan dan pelaburan, tetapi negara hanya boleh dipertahankan dengan perpaduan seluruh rakyatnya.

“Atas sebab itulah semangat kebangsaan perlu terus diperkukuh agar perbezaan yang wujud tidak dimanipulasi sehingga menimbulkan kebencian, prasangka dan perpecahan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS) di sini, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Saarani turut mengingatkan masyarakat agar lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial dan tidak menjadikan platform berkenaan sebagai medan menyebarkan fitnah mahupun sentimen yang boleh memecahbelahkan rakyat.

Mengenai sambutan Bulan Kebangsaan, beliau menyeru seluruh lapisan rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga di kawasan masing-masing sebagai tanda cinta kepada negara.

“Kita mungkin berbeza bahasa di rumah, berbeza budaya dan berbeza cara beribadah, tetapi apabila Jalur Gemilang dinaikkan, kita berdiri dengan rasa bangga yang sama sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda