
Laporan/foto: Loseyeffer Molly/Mohamad Ilham Joni (Bau)
BAU, 19 Jul (MalaysiaAktif) – Penganjuran Gawai Carnival REDEEMS 2026 terus menjadi platform penting dalam memelihara warisan budaya masyarakat Bidayuh di samping merangsang pembangunan komuniti serta menyokong pertumbuhan sektor pelancongan di Sarawak.
Majlis perasmiannya semalam disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Abdul Karim, pembangunan Sarawak perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara warisan budaya, memperkukuh keharmonian masyarakat serta melahirkan rakyat yang berdaya saing.
“Kebudayaan mesti terus dihidupkan dan kesenian daripada semua etnik perlu sentiasa ditonjolkan. Inilah identiti yang menyatukan rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keharmonian masyarakat berbilang kaum yang saling menghormati adat menjadi kekuatan utama Sarawak dalam memastikan pembangunan inklusif dan mampan, selain menggesa masyarakat menguasai teknologi tanpa mengabaikan warisan.
Sementara itu, Presiden REDEEMS Datuk Peter Nansian Ngusie berkata pembinaan REDEEMS Centre membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memelihara warisan masyarakat Bidayuh.
“Kami berharap lebih banyak projek pembangunan seperti blok tambahan dan Rumah Panjang Warisan dapat direalisasikan bagi memperkukuh fungsi REDEEMS sebagai pusat kebudayaan dan pembangunan komuniti pada masa hadapan,” jelasnya yang turut mengajak masyarakat mengekalkan perpaduan.
Untuk rekod, karnival edisi ke-18 yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Julai itu menampilkan pelbagai aktiviti antaranya Battle of The Band REDEEMS 2026, pertandingan Dayung Sikora, permainan tradisional, jualan kraf tangan, persembahan kebudayaan, makan malam gala, konsert dan rumah terbuka.
-RJ-





