
Laporan/foto: Iswandi Kassim/JKR Sarawak
SIMANGGANG, 3 Jul (MalaysiaAktif) – Jambatan Batang Lupar 2 dijangka mula dibuka kepada pengguna pada penghujung Ogos ini, sekali gus menjadi satu lagi mercu tanda pembangunan infrastruktur Sarawak yang bakal meningkatkan kesalinghubungan serta memendekkan masa perjalanan antara Kuching dan Sibu.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata projek bernilai RM223.6 juta itu kini mencapai 91 peratus kemajuan fizikal dan berada pada peringkat akhir sebelum diserahkan untuk kegunaan orang ramai.
Menurut Douglas, apabila siap kelak, jambatan tersebut dijangka memendekkan tempoh perjalanan dari Kuching ke Sibu kepada kira-kira empat jam selain mempertingkatkan jaringan pengangkutan antara kawasan selatan dan tengah Sarawak.
“Jambatan Batang Lupar 2 kini telah mencapai 91 peratus siap dan dijangka mula beroperasi pada penghujung Ogos ini. Dengan adanya jambatan baharu ini, perjalanan antara Kuching dan Sibu akan menjadi lebih pantas, selesa dan efisien, sekali gus meningkatkan jaringan perhubungan di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Upacara Penyambungan Jambatan Batang Lupar 2 di Sembauh, semalam.
Douglas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan serta Menteri Kewangan II Sarawak menambah, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pembangunan Jalan Utama Kedua Sarawak dan Jalan Pesisir Sarawak yang melibatkan pelaburan keseluruhan kira-kira RM11 bilion.
“Apabila keseluruhan rangkaian jalan dan jambatan ini siap kelak, masa perjalanan di seluruh Sarawak akan menjadi lebih singkat, melancarkan hubungan antara bandar dan luar bandar serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat,” jelasnya.
Jambatan Batang Lupar 2 dibina mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) R5 dengan panjang keseluruhan 870 meter, termasuk laluan pelayaran selebar 200 meter pada ketinggian 23 meter serta disokong dua menara kabel setinggi 145.5 meter yang bakal menjadi mercu tanda baharu di kawasan berkenaan.
Projek itu turut merangkumi pembinaan jalan akses sepanjang 2.08 kilometer lengkap dengan sistem saliran, kemudahan jalan dan ciri keselamatan bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar.
Apabila beroperasi nanti, jambatan itu akan menyediakan laluan alternatif yang menghubungkan Sri Aman dan Betong, sekali gus memendekkan jarak perjalanan daripada 73 kilometer melalui Lebuhraya Pan Borneo kepada hanya 37 kilometer menerusi Sarawak Second Trunk Road.
-RJ-




