Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Jambatan Batang Lupar 2 Jangka Operasi Akhir Ogos

By 3 Julai 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim/JKR Sarawak

SIMANGGANG, 3 Jul (MalaysiaAktif) – Jambatan Batang Lupar 2 yang bakal menjadi satu lagi mercu tanda pembangunan infrastruktur Sarawak dijangka mula dibuka kepada pengguna pada penghujung Ogos ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata projek bernilai RM223.6 juta itu kini mencapai 91 peratus kemajuan fizikal dan berada pada peringkat akhir sebelum diserahkan untuk kegunaan orang ramai.

“Dengan adanya jambatan baharu ini, perjalanan antara Kuching dan Sibu akan menjadi lebih pantas, selesa dan efisien, sekali gus meningkatkan jaringan perhubungan di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Upacara Penyambungan Jambatan Batang Lupar 2 di Sembauh, di sini semalam.

Douglas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan serta Menteri Kewangan II Sarawak menambah, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pembangunan Jalan Utama Kedua Sarawak dan Jalan Pesisir Sarawak yang melibatkan pelaburan keseluruhan kira-kira RM11 bilion.

“Apabila keseluruhan rangkaian jalan dan jambatan ini siap kelak, masa perjalanan di seluruh Sarawak akan menjadi lebih singkat, melancarkan hubungan antara bandar dan luar bandar serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat,” katanya.

Jambatan Batang Lupar 2 dibina mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) R5 dengan panjang keseluruhan 870 meter (m), termasuk laluan pelayaran selebar 200m pada ketinggian 23m serta disokong dua menara kabel setinggi 145.5m.

Projek itu turut merangkumi pembinaan jalan akses sepanjang 2.08 kilometer (km) lengkap dengan sistem saliran, kemudahan jalan dan ciri keselamatan bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar.

Apabila beroperasi nanti, jambatan itu akan menyediakan laluan alternatif yang menghubungkan Sri Aman dan Betong, sekali gus memendekkan jarak perjalanan daripada 73 kilometer melalui Lebuhraya Pan Borneo kepada hanya 37 kilometer menerusi Sarawak Second Trunk Road.

-RJ-

Tinggalkan komen anda