
Laporan/foto: Hanafi Sariman/Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang
KEPALA BATAS, 4 Julai (MalaysiaAktif) – Sebanyak 10,100 kilogram (kg) sisa elektrik dan elektronik isi rumah (Household E-Waste) berjaya dikumpulkan di Pulau Pinang setakat tahun ini menerusi pelbagai program kesedaran yang dilaksanakan bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang Badlishah Ahmad berkata daripada jumlah itu, program pengumpulan selama tiga hari di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam yang bermula pada Rabu lalu merekodkan kutipan sebanyak 2,700kg.
“Fokus utama sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2026 di negeri ini ialah memperkukuh pengurusan Household E-Waste melalui pendekatan pendidikan, kesedaran awam dan penyertaan komuniti.
“Sambutan bertemakan Inspired by Nature for Climate, for Our Future itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar serta menggalakkan penglibatan semua pihak dalam menangani cabaran perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Hari Alam Sekitar Sedunia 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang di UiTM Kampus Bertam, di sini semalam.
Pelbagai program telah dilaksanakan sejak awal Jun termasuk taklimat dan kempen pengumpulan e-waste di masjid, institusi pengajian tinggi, pertandingan pengumpulan e-waste antara sekolah-sekolah di Daerah Seberang Perai Utara serta Pertandingan Sepakan Penalti E-Waste 2.0.
-AA





