
Laporan/foto: Syamimi Aaizag (Pendang)
PENDANG, 1 Jul (MalaysiaAktif) – Persekitaran kerja yang bebas dadah bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti, malah mengurangkan risiko kemalangan, masalah disiplin dan ketidakhadiran pekerja.
Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pendang Zainal Abidin Ismail berkata Seminar Tempat Kerja Bebas Dadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pendang, semalam menekankan kepentingan kerjasama semua pihak dalam membentuk persekitaran kerja yang selamat, sihat dan berintegriti.
“Seminar ini juga diharap dapat menyemai sikap prihatin dan kebertanggungjawaban dalam kalangan warga kerja agar sentiasa menjadi ejen pencegahan terhadap penyalahgunaan dadah.
“Persekitaran kerja yang bebas dadah bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti, malah dapat mengurangkan risiko kemalangan, masalah disiplin dan ketidakhadiran pekerja,” katanya di sini semalam.
Beliau berharap aspirasi untuk melahirkan tempat kerja yang selamat, sihat dan bebas dadah mampu direalisasikan.
Seminar yang berlangsung di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah dan Tanah Pendang semalam menghimpunkan peserta yang terdiri daripada kakitangan pelbagai agensi kerajaan dan swasta sekitar daerah itu.
Melalui seminar tersebut, para peserta diberi pendedahan mengenai peranan serta tanggungjawab ketua jabatan dalam membantu mewujudkan budaya kerja yang bebas daripada penyalahgunaan dadah.
-RI





