
Laporan/foto: Nur Hafif Zainurdin/Nor Juliana Jamri (Hulu Langat)
HULU LANGAT, 6 Sep (Malaysiaaktif) – Setelah empat bulan Pasar Pagi Batu 14 Hulu Langat ditutup gara-gara arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 peniaga di sini gembira dan bersyukur kerana dibenarkan untuk beroperasi semula.
Penganjur pasar pagi Noorazwana Abd Razak, 43, berkata seramai 30 peniaga telah memulakan operasi.
“Hanya peniaga dan pengunjung yang lengkap dua dos vaksinasi sahaja yang dibenarkan berurus niaga di sini.
“Seramai 127 peniaga berdaftar yang dibenarkan untuk berniaga tetapi kebanyakan mereka selesai mengambil dos kedua vaksinasi hari ini (Ahad) dan kita menjangkakan dalam masa dua minggu lagi, kesemua peniaga akan kembali beroperasi dalam kapasiti penuh.

Alat pengimbas suhu badan, cecair pembasmi kuman dan kod pengimbas MySejahtera disediakan untuk saringan pengunjung yang hadir.
“Kami bersyukur kerana proses untuk membuka kembali pasar pagi ini dipermudahkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kerana peniaga sering bertanya kepada kami bila mereka boleh berniaga,” katanya yang ditemui di tapak pasar tersebut, di sini semalam.
Pasar pagi yang bermula seawal pukul 6.30 pagi itu turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan MKN dengan menyediakan laluan keluar masuk, menyediakan kod pengimbas MySejahtera dan mengambil suhu badan pengunjung.
Seorang peniaga ikan, Mohd Farid Zulkarnain, 37, gembira untuk berniaga semula selepas terpaksa kekal di rumah selama beberapa bulan tanpa pendapatan lain.
“Alhamdulillah hari ni dapat berniaga di sini untuk tambah pendapatan keluarga,” katanya.
-RI