
Laporan/foto: Rajeswari Anbazagan & Zaharah Ismail
KUALA LUMPUR, 14 Sep (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Bukit Bintang, Seputeh dan Putrajaya bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) menyantuni penduduk setempat di dua buah parlimen iaitu Bukit Bintang dan Seputeh menerusi Program Sepakat@Komuniti.
Program yang diadakan bersempena menyemarakkan sambutan Hari Malaysia itu diadakan di dua lokasi berasingan iaitu di Dewan Kompleks Tun Abdul Ghaffar Baba, Seputeh dan Tapak Perniagaan, Jalan Masjid India, Bukit Bintang di sini, baru-baru ini.

Nyanyian Jalur Gemilang beramai-ramai mengakhiri Program Program Sepakat@Komuniti Parlimen Bukit Bintang.
Bertemakan #KeluargaMalaysiaPrihatin, seramai 60 orang penduduk menerima sumbangan bakul makanan.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Timbalan Pengerusi MPP Zon Parlimen Seputeh, Mohd Masri@Ajib Abu Bakar dan Pengerusi MPP Sub Zon 1, Parlimen Bukit Bintang, Patrick Leong.
Program tersebut turut mendapat penglibatan daripada sekumpulan pelajar Universiti Multimedia Malaysia (MMU) yang turut serta memberi bantuan barang keperluan kepada penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Antara pengisian lain pada program berkenaan termasuklah edaran Jalur Gemilang dan nyanyian lagu-lagu patriotik.

Pegawai Penerangan Daerah Bukit Bintang, Seputeh dan Putrajaya, Azri Zainal Abidin ditemu ramah pada Program Sepakat@Komuniti.
Turut hadir, Pegawai Penerangan Daerah Bukit Bintang, Seputeh dan Putrajaya, Azri Zainal Abidin dan Pengurus Kawasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Parlimen Bukit Bintang, Ahmad Ibnu Sina.
-ZS-