
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/ Mohd Shuhaimi Ahmad (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 17 Sept (Malaysiaaktif) – Seramai 70 peminat sukan berbasikal menyertai Kayuhan Semarak Malaysia Merdeka di sini, sempena menyahut seruan kerajaan dalam menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.
Program anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JaPen), itu bermula dari Kampung Seberang Takir dan melalui Jambatan Sultan Mahmud serta berakhir di Pantai “Miami”, Kuala Nerus.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir Mohd Fadhil Wahab, berkata selain kibaran Jalur Gemilang peserta juga memakai pakaian yang bercirikan warna-warna yang terdapat pada bendera Malaysia.
“Kayuhan ini bertujuan menunjukkan rasa semangat kemerdekaan kita terhadap negara dan mengambil peluang memberikan sedikit saranan kepada para peserta berkaitan pematuhan terhadap prosedur Operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan COVID-19,” katanya ketika melancarkan program kayuhan berkenaan di kampung tersebut, di sini semalam.

Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab (tengah) ketika melancarkan Kayuhan Semarak Malaysia Merdeka di sini, semalam.
“Pada esok hari, Terengganu akan beralih kepada fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun ia bukan kebenaran total sehingga rakyat boleh mengambil sikap sambil lewa dan melanggar peraturan yang telah digariskan,” katanya.
Peserta kayuhan, Mohd Khairudin Alias, 33, berkata melalui program ini peserta dapat menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan melalui aktiviti berbasikal dan paling penting dapat menyemai semangat cintakan negara.
“Program kayuhan seperti ini perlu selalu dilaksanakan kerana ia bersifat patriotik dalam menyemai rasa cinta golongan muda kepada negara, “ katanya.

Mohd Khairudin berkata melalui aktiviti sebegini para peserta dapat menyemarakkan semangat patriotik.
Peserta lain, Hassan Ab. Rahman, 41, berkata sempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia ini, pelbagai inisiatif dilakukan bagi memastikan kemeriahan sambutan ini.
“Program bercorak sosial dapat menyemarakkan semangat cintakan negara dengan mengumpulkan peminat sukan berbasikal dan ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan muda di sekitar sini,” katanya.

Hassan Ab. Rahman berkata pelbagai inisiatif dilakukan bagi memastikan kemeriahan Sambutan Hari Malaysia 2021.
Sementara itu, kayuhan berkenaan turut disertai oleh Penolong Pengarah JaPen Mohd Othman Bakar, yang membuat kayuhan melebihi jarak 16 kilometer.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman telah menyambut peserta kayuhan di lokasi pertama iaitu di Pejabat Syarikat Air Terengganu (SATU), Kuala Terengganu sebelum berakhir di Kuala Nerus.
-ii-