
Laporan/foto: Khairul Othman/Parimala Devi (Jelebu)
JELEBU, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai lebih 100 peserta dalam kalangan belia memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2021 menerusi Program Pendakian Hari Malaysia di Bukit Baru Beras, di sini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Noor Azmi Yusof, setiap peserta diminta untuk mengisi borang dalam talian sebelum mendaki sebagai syarat atau garis panduan dan hanya peserta yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 sahaja dibenarkan untuk menyertai aktiviti ini.
“Tepat pukul 6.45 pagi, malim selaku jurupandu menyampaikan taklimat sebelum memulakan pendakian ke puncak Bukit Batu Beras dan kesemua peserta telah sampai di puncak bukit pada pukul 8.30 pagi.
“Alhamdulillah, berjaya juga sampai ke puncak bersama peserta hari ini walaupun agak mencabar laluannya, sempat juga menikmati ‘awan karpet’ yang digembar gemburkan,” katanya ketika ditemui setelah tamat pendakian di Bukit Baru Beras, di sini baru-baru ini.
Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang singgah bagi bersama-sama memeriahkan lagi ini, beliau kagum melihat semangat anak-anak muda bersama-sama menghayati Hari Malaysia di mana penglibatannya daripada pelbagai kaum.
“Program seperti ini jelas membuktikan ukhuwah dan kesepakatan dalam ‘Keluarga Jelebu’ sangat erat dan harus diteruskan pada masa akan datang sebagai bangsa Malaysia,” ujarnya.
Aziana Abdullah, 28, salah seorang peserta beliau turut meluahkan perasaan seronok dapat mendaki semula kerana sebelum ini tidak dibenarkan melakukan aktiviti sukan seperti ini kerana untuk menghentikan penularan COVID-19.
-FF