
Laporan/foto: Zulhaiqal Shaidin/Ahmad Idham Abd Hamid (WPKL)
PUTRAJAYA, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Bukit Bintang, Seputeh dan Putrajaya menyantuni penduduk di kawasan Perumahan Penjawat Awam Fasa 1C yang terkesan akibat pandemik COVID-19 menerusi Program Sepakat@Komuniti.
Pegawai Penerangan Daerah Azri Zainal Abidin, berkata program tersebut turut mendapat kerjasama persatuan penduduk setempat.
“Program ini diadakan bagi membantu golongan penjawat awam yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang disantuni dengan penyampaian sumbangan bakul makanan.

Penerima menerima sumbangan daripada tetamu kehormat yang hadir semasa Program Sepakat@Komuniti Peringkat Parlimen Putrajaya dengan kerjasama Persatuan Penduduk Perumahan Awam Fasa 1C, Presint 16.
“Penyerahan sumbangan bakul makanan dan Jalur Gemilang diberikan kepada persatuan penduduk di perumahan ini untuk diagihkan kepada penerima di blok masing-masing,” katanya pada Program Sepakat@Komuniti Parlimen Putrajaya di Surau Ar Raudhah Presint 16, di sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Penjawat Awam Fasa 1C, Mahmud Jamaludin, berkata pihaknya sentiasa komited dalam menjalinkan kerjasama menggerakkan program bersama komuniti.

Para tetamu kehormat yang hadir semasa Program Sepakat@Komuniti Peringkat Parlimen Putrajaya dengan kerjasama Persatuan Penduduk Perumahan Awam Fasa 1C, Presint 16.
“Jalinan kerjasama ini bukan baru diadakan kali ini, bahkan Jabatan Penerangan telah lama bekerjasama sejak wujudnya Komuniti Satu Malaysia (K1M) dahulu.
“Kami akan sentiasa bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin membantu dari aspek memberi sumbangan, fizikal atau mental kepada penduduk yang terjejas akibat COVID-19 ini,” katanya.
Dalam pada itu, salah seorang penerima bantuan, Suhardi Zulkaply, 47, menzahirkan rasa syukur dan gembira atas sumbangan yang diterima.
“Saya ingin megucapkan terima kasih kerana terpilih untuk menerima sumbangan ini dan mengharapkan program sebegini akan lebih kerap diadakan untuk membantu penduduk yang terjejas akibat COVID-19,” katanya.
Turut hadir, wakil Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya Inspektor Nik Rozi Nik Mar.
-ZS-