Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Papan Luncur Beroda Secara Maya Tarik Minat Golongan Muda

By 21 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Irman/Yamuna (Temerloh)

TEMERLOH, 21 Sep (Malaysiaaktif) – ‘Aye’ di nobatkan sebagai juara bagi kategori Best Trick Video Terbaik dalam Pertandingan Skateboard Secara Virtual 2021.

Menurut Pengarah Program Hasanal Bolkiah, program ini diadakan bagi mengajak masyarakat untuk bangkit melawan pandemik COVID 19 dengan mengembalikan semula aktiviti-aktiviti riadah dalam suasana norma baharu.

“Pertandingan Skateboard Secara Virtual yang diadakan melalui kiriman video bertemakan Semangat Kemerdekaan sempena Hari Malaysia 2021 ini julung kalinya diadakan yang mana ia diadili mengikut format pemarkahan kreativiti persembahan dalam video.

“Program kali ini, mempertandingkan kemahiran Best Trick, Line/Run (30 Saat), Skatua Best Trick dan yang mana ia diadili secara maya melalui kiriman video oleh setiap peserta mengikut kreativiti masing-masing,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Skateboard Secara Virtual, di sini semalam.

Tambahnya, setiap video yang dirakam mestilah menggambarkan Tema Hari Kemerdekaan mengikut kreativiti para peserta.

“Pertandingan ini telah bermula sejak 31 Ogos 2021 yang lalu dan penyertaan terakhir telah sampai kepada pihak urusetia untuk di adili pada 16 September 2021 yang lalu,” ujarnya.

‘Aye’ atau nama sebenarnya Azharudin Idris berasal dari Seberang Temerloh telah mengungguli acara tertutup itu dengan menewaskan para pencabar lain dari daerah ini.

“Papan luncur beroda merupakan sukan lasak dan ekstrim yang sangat diminati oleh golongan anak muda pada ketika ini.

“Sukan ini yang telah dipertandingkan di beberapa siri temasya sukan Olimpik, telah menunjukkan peningkatan penyertaan golongan muda di sekitar Temerloh sejak kebelakangan ini,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya aktiviti sukan seumpama ini di harap akan dapat mencungkil bakat anak-anak muda di samping menyemai semangat patriotik dalam diri sebagai salah satu usaha bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini.

“Penganjuran aktiviti-aktiviti ini juga akan dapat menghindari golongan muda daripada terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral,” jelasnya.

Pertandingan Papan Luncur Beroda Secara Virtual Tertutup Daerah Temerloh ini merupakan anjuran Angkatan Bahaman Temerloh dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Temerloh serta Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Semantan bersempena dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Pada pertandingan tersebut bagi kategori line pula menyaksikan peluncur Syahir Mohammad memenangi kategori tersebut manakala kategori skatua pula diungguli oleh Ahmad Sabri Lokman.

-AH-

Tinggalkan komen anda