
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)/KPJ Johor
JOHOR BAHRU, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Pakar KPJ Johor meraikan kira-kira 40 orang remaja berumur 18 tahun bagi menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) pada 23 September yang lalu.
Lebih istimewa tarikh tersebut juga merupakan hari ulang tahun kelahiran mereka semua.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor Mohd Azhar Abdullah, sempena menyambut hari kelahiran mereka pihak pengurusan KPJ Johor turut memberikan cenderahati kepada para penerima vaksin berkenaan.
“Pihak kami amat bangga dan berbesar hati apabila PPV KPJ Johor terpilih untuk melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 kepada remaja berusia 18 tahun.
“Ia adalah sebahagian daripada sumbangan kami kepada negara dalam mencapai sasaran untuk memastikan Malaysia bebas daripada wabak COVID-19,” menurut kenyataan tersebut, baru-baru ini.
Kesemua penerima vaksin COVID-19 remaja berkenaan menerima tarikh janji temu mereka melalui aplikasi MySejahtera.

40 orang remaja berumur 18 tahun menerima suntikan pertama vaksin di bawah PICK Remaja pada hari kelahiran mereka di PPV KPJ Johor.
“Setakat ini PPV KPJ Johor masih belum membuka vaksin secara jumpa terus kepada golongan berkenaan.
“Prosedur dan proses untuk mendapatkan vaksin di PPV KPJ Johor tetap sama iaitu pendaftaran masih dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera bagi individu yang layak,” kata kenyataan itu.
Pasangan kembar golongan kurang upaya (OKU) Nurnabihah Mohamed Salleh dan Nurnabila Mohamed Salleh, 18, turut menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada hari kelahiran mereka.
Abang kepada pasangan kembar tersebut, Muhd Syukur Mohamed Salleh, 33, yang ditemui di PPV KPJ Johor berkata sebaik mengetahui kerajaan membenarkan vaksinasi kepada golongan remaja beliau terus meminta adik-adiknya untuk melakukan pendaftaran di aplikasi MySejahtera.
“Mereka berasa gembira apabila diberitahu akan memperoleh vaksin pada hari ulang tahun kelahiran mereka dan sepanjang perjalanan ke PPV KPJ Johor, mereka tidak berhenti bertanya mengenai vaksin COVID-19,” ujarnya.
Muhd Syukur juga berharap adik-adiknya yang mempunyai masalah disleksia dapat kembali ke sekolah untuk mengikuti sesi pembelajaran seperti biasa selepas mereka lengkap menerima suntikan vaksin itu nanti.
-NI-