
Laporan/foto: Krisha Selladurai (Pontian)
PONTIAN, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Inisiatif Pemimpin Advokasi COVID-19 (I-PAC) antara langkah yang diambil oleh kerajaan negeri dalam menangani penularan wabak COVID-19 di daerah ini.
Menurut Pegawai Daerah Pontian Mohd Rafi Abdullah, I-PAC yang merupakan kerjasama antara kerajaan negeri, Jabatan Kesihatan Negeri dan pemimpin-pemimpin komuniti tempatan diwujudkan sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19.
“I-PAC juga mengutamakan konsep tanggungjawab bersama dalam menggerakkan dan memperkasakan komuniti serta memantapkan konsep komunikasi risiko yang berkesan untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat.
“Selain itu, ia juga diwujudkan untuk memperkukuhkan usaha-usaha pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani penularan COVID-19,” katanya semasa merasmikan Majlis Pelancaran dan Sesi Town Hall Inisiatif Advokasi COVID-19 (I-PAC) Peringkat Daerah Pontian secara dalam talian, semalam.
Tambah beliau, proses vaksinasi di daerah ini juga dipercepatkan dan sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa agar berjalan lancar serta mencapai imuniti kelompok dalam tempoh masa terdekat.
“Selain itu pihak Kesihatan Daerah Pontian juga akan memberi tumpuan kepada pesakit COVID-19 supaya mereka mendapat penjagaan rapi.
“Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan bertindak sebagai penggerak utama di dalam aktiviti komunikasi risiko di kawasan masing-masing,” ujarnya.
Mohd Rafi berkata, I-PAC juga merupakan satu program yang memberi fokus kepada pandemik COVID-19, vaksinasi, permatuhan SOP norma baharu dan hidup aktif.
“Pendekatan yang diambil adalah secara bottom up iaitu merangkumi aspek advokasi dan mobilisasi komuniti,” ujarnya.
“Para pemimpin dan ketua-ketua masyarakat juga dibekalkan dengan kit I-PAC yang mengandungi bahan-bahan rujukan promosi kesihatan serta senarai tugas,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa setiap aktiviti I-PAC juga perlu mendapatkan kebenaran PDRM dan Pejabat Kesihatan Daerah.
Dakam oada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Dr Surinah Asah, menjelaskan fasa endemik adalah kejadian penyakit yang sentiasa wujud dalam masyarakat, namun orang ramai sudah menyesuaikan diri serta belajar hidup dengannya dan penyakit ini dijangka sentiasa ada, namun pada kadar stabil dan rendah.
“Apabila wabak COVID-19 mencapai tahap endemik, tidak bererti virus terbabit semakin lemah, namun manusia semakin kuat menentangnya kerana sistem imun kita lebih kebal dengan pengambilan vaksin dibekalkan,” katanya.
Menurut Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Pekan Nenas Dr Leong Pooi Yee, vaksin dihasilkan daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang dimatikan atau dilemahkan atau dari protein subunit pada virus.
“Antigen dalam vaksin berfungsi untuk merangsang sistem imuniti tubuh dan membantu sistem imun mengenal pasti kuman tertentu suapaya sistem imun cukup bersedia diserang kuman sebenar.
“Imunisasi akan membentuk kekebalan kelompok yang mana apabila semakin ramai yang mengambil vaksin semakin berkurangan penularan wabak ini yang secara tidak langsung dapat melindungi masyarakat daripada jangkitan COVID-19,” ujarnya.
-NI-