
Laporan/foto: Norazura Abdul Latif (Petaling)
PUCHONG, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Selangor terus komited menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memastikan maklumat dasar-dasar kerajaan sampai kepada masyarakat.
Pegawai Penerangan Daerah Petaling Chandran Periasamy, berkata objektif jabatan tidak akan dapat dicapai jika tiada jalinan kerjasama antara agensi kerajaan dan NGO.
“Usaha berkenaan akan dapat dijayakan apabila program-program jabatan diadakan bersama rakan-rakan strategik yang diwujudkan pada peringkat akar umbi.
“Konsep Keluarga Malaysia akan turut diterapkan dalam semua program-program kami seperti yang dihasratkan kepimpinan negara,” katanya yang ditemui sempena Program Sepakat@Komuniti Parlimen Puchong di Medan Selera Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Ahli Majlis MPSJ Muhamad Fauzan Rosli, berkata belakangan ini masyakat sering disajikan dengan maklumat yang tidak pasti kesahihannya.
“Melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan NGO, secara tidak langsung dapat membantu pihak JaPen menyampaikan maklumat dengan tepat dan sahih menerusi program yang dianjurkan bersama,” katanya.
Pengerusi Kelab Warga Puchong, Saleha Hasan, 52, pula ketika ditemui menyambut baik kerjasama strategik antara Kelab Warga Puchong dan JaPen.
“Kami sangat komited menganjurkan program bersama JaPen bagi mendekatkan agensi kerajaan bersama masyarakat dan secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan keakraban antara ahli kelab,” katanya.
-RI