Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

14,454 Angka Sembuh, Atasi Kes Baharu

By 4 Oktober 2021Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Kes sembuh COVID-19 semalam merekodkan sejumlah 14,454 kes, jauh melebihi kes baharu yang mencatat 9,066, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu yang dilapor itu, 8,907 kes (98.2 peratus) terdiri daripada kategori 1 dan 2 manakala baki 1.8 peratus atau 159 kes merupakan kategori 3, 4 dan 5.

“Sebanyak 815 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 355 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan perkembangan situasi COVID-19 semalam.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata enam lagi kluster dikesan semalam menjadikan sejumlah 1,008 kluster yang masih aktif di negara ini, yang melibatkan tiga kluster tempat kerja dan tiga kluster komuniti.

Data kematian dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik menerusi laman GitHub dan laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkongsi angka melegakan apabila kes baharu COVID-19 semalam merekodkan penurunan di bawah 10,000 iaitu sebanyak 9,066 kes.

Kali terakhir negara mencatat kes baharu di bawah angka 10,000 ialah pada 12 Julai, iaitu berjumlah 8,574 kes.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda