
Laporan/foto: Suria Karim/Shamsul Bahari Abdul Shukor (Seberang Perai Selatan)
NIBONG TEBAL, 4 Okt (Malaysiaaktif)– Pelbagai agensi kerajaan dan anggota masyarakat melalui Skuad ABC (Agen Basmi COVID-19) melaksanakan program Sepakat@Komuniti di sekitar kawasan Sungai Acheh, di sini.
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Pulau Pinang Dr. Haniff Hassan, berkata program Sepakat@Komuniti mendapat kerjasama padu dari Pejabat Daerah dan Tanah, Angkatan Pertahanan Awam serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
“Gerak kerja bersepadu dengan agensi kerajaan ini mendekati masyarakat memberikan penjelasan beberapa dasar seperti Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang melibatkan pelajar sekolah, Pemerkasaan SOP dan Konsep Keluarga Malaysia,” katanya selepas penyampaian sumbangan kepada keluarga kurang berkemampuan di kampung Buah Pala, di sini kelmarin.
Menurut Dr. Haniff, frasa “Keluarga Malaysia” sangat inklusif di mana ia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum serta mengajak semua rakyat teguh menghadapi pandemik dan membaik pulih ekonomi.
“Perjalanan program konvoi ini diberikan tumpuan dengan penyampaian sumbangan berupa penjagaan diri dan keperluan asas kepada lima keluarga kurang berkemampuan termasuk anak yatim piatu.
“Peranan ketua komuniti dalam masyarakat amat penting bagi memastikan tidak ada satu keluarga yang tertinggal dalam mendapat bantuan atau apa jua maklumat yang disalurkan kerajaan,” katanya.
Menurut Dr. Haniff, ini adalah sebahagian usaha Pejabat Penerangan Daerah mendekati masyarakat dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan di samping menyampaikan informasi-informasi terkini kerajaan.
“Walau bagaimanapun, pematuhan langkah pencegahan tetap diikuti kerana Pulau Pinang masih berada dalam fasa 2,”katanya.
Turut serta dalam Program, Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan Marlia Mohd Belia bersama pegawai-pegawai Pertahanan Awam dan Skuad Agen Basmi COVID-19 Seberang Perai Selatan.
-ii-