
Laporan/foto: Zurina Saad (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI, 30 Mei (MalaysiaAktif) – Program Ibadah Korban Perdana anjuran Pejabat Ahli Parlimen Sungai Petani berjaya dilaksanakan dengan penuh meriah dalam suasana harmoni dan semangat gotong-royong melibatkan penduduk setempat, sukarelawan serta pelbagai lapisan masyarakat di Masjid Asy-Syakirin, Bandar Perdana, kelmarin.
Program sempena sambutan Aidiladha itu bertujuan menyemarakkan nilai pengorbanan, memperkukuh silaturahim serta menyantuni golongan memerlukan menerusi pengagihan daging korban kepada penduduk setempat, asnaf dan komuniti sekitar.
Ahli Parlimen Sungai Petani merangkap Menteri Belia Dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, berkata program berkenaan bukan sahaja menjadi simbol ibadah dan keinsafan, malah turut menjadi platform memperkukuh hubungan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Menurut beliau, semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh para sukarelawan dan penduduk setempat membuktikan budaya kebersamaan serta nilai kemasyarakatan terus subur dalam kalangan rakyat.
“Program seperti ini bukan sekadar ibadah, tetapi menjadi medium menyatukan masyarakat serta membantu golongan yang memerlukan agar dapat bersama-sama menikmati keberkatan Aidiladha,” katanya.
Sebanyak 31 ekor lembu berjaya disembelih sepanjang program tersebut, dengan proses penyembelihan, melapah dan pengagihan daging korban dilaksanakan secara teratur hasil kerjasama erat petugas, sukarelawan dan pelbagai agensi yang terlibat sejak awal pagi.
Penganjuran Ibadah Korban Perdana itu turut mencerminkan komitmen Pejabat Ahli Parlimen Sungai Petani dalam mendekati masyarakat serta meneruskan agenda kebajikan demi kesejahteraan rakyat di kawasan berkenaan.
Program berakhir dalam suasana penuh muhibah menerusi jamuan rakyat dan sesi ramah mesra bersama penduduk setempat, sekali gus mengeratkan hubungan antara pemimpin dan komuniti.
-AA-





