Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Aliran Trafik Lancar Walaupun Kenderaan Bertambah

By 11 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Keadaan jalan utama menuju keluar dari ibu kota dalam keadaan terkawal dan tiada aliran trafik luar biasa dikesan walaupun rentas negeri dibenarkan bermula tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim ketika dihubungi Bernama berkata setakat malam tadi tiada jangkaan trafik yang luar biasa.

“Orang ramai juga dingatkan jangan terlalu ghairah untuk melakukan pergerakan rentas negeri kerana negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Jalan Duta tengah malam ini mendapati aliran trafik seperti biasa walaupun terdapat pertambahan kenderaan.

Beberapa kenderaan turut dilihat berhenti 300 meter daripada plaza tol bagi menantikan detik 12 tengah malam sebelum keluar daripada Plaza Tol Gombak.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas semalam memaklumkan kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.

Susulan itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataannya memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan pemeriksaan secara rawak di kawasan tumpuan dan menamatkan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, Op Benteng dan cegah jenayah serta keselamatan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda