
Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain (Alor Gajah)
MASJID TANAH, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Sempena Sambutan Hari Sukan Negara, Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Alor Gajah menyantuni pengunjung pusat riadah ini dengan mengadakan senamrobik.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah Salina Hasan@Abd Rashid, mereka ingin memastikan yang setiap rakyat mengambil kesempatan kelonggaran yang diberikan dalam fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk beriadah dan bersenam untuk sihat.
“Pihak kami ingin bersama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk memastikan gaya kehidupan yang lebih sihat dikalangan rakyat Malaysia khususnya warga daerah Alor Gajah.
“Selain itu, pihak kami turut mengambil kesempatan untuk mengedarkan risalah berisi maklumat mengenai isu-isu semasa seperti pematuhan norma baharu dalam menghadapi pandemik COVID-19”, katanya ketika ditemui sempena program, di sini kelmarin.
Menurut Salina, Program Sepakat@Komuniti sempena Hari Sukan Negara merupakan sebuah program anjuran JaPen yang bertujuan untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Sukan Negara yang disambut pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun di sesebuah kawasan yang telah dipilih.
“Program ini akan dijalankan di semua kawasan seluruh negara dan diisi dengan program melibatkan orang ramai seperti penerangan dasar-dasar kerajaan, pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta edaran Jalur Gemilang,” katanya.
Manakala menurut salah seorang pengunjung, Fatimah Abd Rahman, 42, program ini dapat memberikan nilai tambah kepada pengunjung yang hadir di pusat rekreasi ini untuk beriadah.
“Selain daripada beriadah, kami turut berkesempatan untuk menyertai sesi senamrobik dan senaman sihat yang dipandu oleh jurulatih, kami juga dapat memperoleh bahan penerbitan JaPen mengenai panduan menghadapi pandemik dan norma baharu,” ujarnya.
-FF