
Laporan/foto: Melanie Marcellina J. Kinjawan (Beluran)
BELURAN, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) komited memperkasakan peranan sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk memperbaiki sosio-ekonomi nelayan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, berkata antara lain peranan LKIM adalah memajukan perusahaan perikanan negara dan memastikan bekalan ikan negara sentiasa mencukupi terutama dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini.
“Bawah tanggungjawab LKIM, sebanyak 200 buah rumah nelayan sedang dibaik pulih yang merupakan peserta Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) bertempat di Kampung (Kg.) Kolapis.
“Dalam pada itu, LKIM juga menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk pembelian bangunan pejabat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran dan RM300,000 untuk pembinaan kilang ais batu di Kg. Keramat bagi tujuan penyimpanan hasil tangkapan perikanan dan pemasaran ikan yang akan memberi manfaat kepada 2,783 nelayan di kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambahnya, LKIM melaksanakan Program Pembangunan Pelan Peningkatan Pendapatan Golongan B40 Nelayan melalui Projek Tanaman Kontan untuk memberikan pendapatan sampingan kepada nelayan melalui input pertanian.
“Seramai 50 peserta di Beluran telah mendapat bantuan dan insentif secara sekali beri bawah projek tersebut dengan peruntukan sebanyak RM100,000,” jelasnya.
Beliau juga mengadakan tinjauan ke Rumah PKPN dan Lawatan Tapak Kilang Ais Batu PNK di Kg. Keramat.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI Datuk Badrul Hisham Mohd, Ketua Pengarah LKIM Yusoff Othman, Pengarah LKIM Sabah Sundralingam Nagaiah dan Pengerusi PNK Beluran Uting Rahmat.
-RI