
Laporan/foto: Mohd Sharir Mohd Sani (Kluang)
SIMPANG RENGGAM, 1 Nov (Malaysiaaktif) – Penantian 30 tahun bagi 61 buah keluarga di Kampung Sri Maju Jaya dan Kampung Bukit Nyamuk menemui titik penyelesaian apabila mereka akhirnya menerima geran hak milik berkenaan.
Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohamad, mesyuarat kerajaan negeri yang bersidang pada bulan Mac 2021 telah bersetuju untuk meluluskan geran hak milik kepada 179 plot di Kampung Sri Maju Jaya dan 119 plot bagi Kampung Bukit Nyamuk.
“Penyerahan hak milik ini bagi membolehkan ruang dan peluang kepada masyarakat untuk mempunyai tanah milik mereka sendiri,” katanya semasa merasmikan Majlis Penyerahan Hak Milik Kampung Sri Maju Jaya dan Kampung Bukit Nyamuk di Dataran Mini Renggam, di sini, semalam.
Ketua Kampung Sri Maju Jaya Rozli Hashim, 46, yang ditemui berkata beliau amat bersyukur kerana akhirnya berjaya memperoleh hak milik tanah setelah hampir 30 tahun memohon kepada kerajaan negeri.
“Ini membuktikan bahawa pihak kerajaan sentiasa peka dengan permasalahan rakyat dengan mempermudahkan segala urusan pemilikan tanah di Kampung Sri Maju Jaya,” ujarnya.
Seorang penerima yang ditemui, Rahamat Sarimin, 65, dari Kampung Bukit Nyamuk turut melahirkan rasa terharu atas kurniaan hak milik oleh kerajaan negeri setelah hampir tiga dekad beliau menghantar permohonan.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani, Pegawai Daerah Kluang Jamaluddin A. Hamid dan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.
-NI-