Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes Harian Menurun, 4,626 Direkod

By 2 November 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Jumlah kes harian COVID-19 terus menunjukkan penurunan dengan 4,626 kes dilaporkan semalam, berbanding 4,979 kes kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terkini itu menjadikan kumulatif kes baharu kini 2,476,268.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu semalam, hanya 94 kes atau dua peratus melibatkan kategori tiga, empat dan lima, manakala baki 4,532 kes atau 98 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada jumlah kes baharu itu, enam kes adalah kes import manakala 4,620 kes melibatkan penularan tempatan,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi COVID-19 semalam.

Dr Noor Hisham berkata bagi kes sembuh, sebanyak 5,299 kes dilaporkan, mengatasi kes baharu dan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih COVID-19 kini 2,380,060.

Menurut kenyataan itu, terdapat 569 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 301 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata sebanyak lima kluster baharu dikenal pasti membabitkan tiga kluster tempat kerja, masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan.

Ketua Pengarah itu memaklumkan kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara semalam pula ialah 0.95 dengan Kuala Lumpur mencatat kadar Rt tertinggi iaitu 1.02 manakala Labuan kekal satu-satunya kawasan mencatatkan kadar kebolehjangkitan sifar.

Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dengan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda