
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
TANAH MERAH, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Kempen pengumpulan buangan elektrikal dan elektronik (e-Waste) sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2021 mampu menyemarakkan rasa tanggungjawab masyarakat setempat memelihara alam sekitar agar tidak tercemar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Hijau dan Alam Sekitar Tuan Saripuddin Tuan Ismail, program tersebut dikategorikan sebagai Buangan Terjadual di bawah Kod SW 10, Jadual Pertama, Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual 2005).
“Kod SW 10 ditakrifkan sebagai sisa daripada pemasangan elektrik dan elektronik yang mengandungi komponen seperti sisa merkuri, kaca daripada tiub sinar katod, kapasitar bifeni atau tercemar dengan kadmium dan sebagainya,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Dataran Masjid Sultan Ismail Petra Tanah Merah, di sini semalam.
Menurut Tuan Saripuddin, e-Waste terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu dijana daripada sektor perindustrian dan daripada isi rumah.
“Pembuangan sampah atau bahan buangan tidak teratur menyebabkan bahan ini mengancam kehidupan manusia dan binatang dan bahan yang dibuang di merata-rata tempat akan memberi kesan kepada kesejahteraan dan kelestarian alam sekitar.
“Barang elektronik yang ada kesan toksik dengan logam boleh memudaratkan kepada kehidupan manusia serta mengancam udara bersih dan persekitaran yang sihat,” katanya.
Tuan Saripuddin, berkata pihak kerajaan terpaksa membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membersihkan alam sekitar bila berlaku pencemaran malah pelbagai akta termasuk denda yang tinggi dilaksanakan namun tidak memberi kesan kepada pesalah membuang bahan buangan.
“Setiap tahun kita terpaksa mengadakan kempen kesedaran kepada penjagaan alam sekitar demi kesejahteraan semua,” ujarnya
-RI