
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 12 Nov (Malaysiaaktif) – Sebanyak 48 kes baharu membabitkan varian yang membimbangkan (VOC) iaitu Delta (B.1.617.2) dilaporkan semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 34 kes dikesan di Pulau Pinang, 12 di Pahang dan dua di Perlis.
Beliau berkata kesemua kes dikenal pasti menerusi kajian berterusan Institut Farmakogenomiks Integratif (iPROMISE–UiTM).
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC serta varian yang perlu diberi perhatian (VOI) adalah sebanyak 3,830 kes dan daripada jumlah itu, 3,810 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.
“Secara keseluruhan, sehingga kini bagi VOC terdapat sebanyak 3,570 kes varian Delta, 226 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha,” menurutnya dalam kenyataan semalam.
Bagi VOI pula, sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta dikesan setakat semalam.
Dr Noor Hisham juga berkata sebanyak 98.5 peratus atau 6,226 daripada jumlah keseluruhan 6,323 kes baharu COVID-19 yang dilapor semalam terdiri daripada kategori satu dan dua manakala baki 1.5 peratus atau 97 kes pula dalam kategori tiga, empat dan lima.
“Sebanyak 538 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 274 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Beliau berkata kes sembuh yang dilapor adalah sebanyak 5,337 menjadikan jumlah kumulatif pesakit pulih setakat ini ialah 2,435,459 orang.
Katanya empat kluster baharu dikenal pasti melibatkan tiga di tempat kerja di Selangor, Johor dan Pahang manakala satu kluster pendidikan di Kuala Lumpur.
Maklumat terperinci berkaitan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.
— BERNAMA