Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

SPR Adakan Mesyuarat Khas PRN Sarawak Diadakan 24 November

By 12 November 2021Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 12 Nov (Malaysiaaktif) – Mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 akan diadakan pada 24 November di Kuching, Sarawak.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata mesyuarat yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh bermula pukul 9 pagi.

“Mesyuarat antara lain bertujuan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN itu seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ikmalrudin berkata satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 3 November berkenan menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.

Penamatan Proklamasi Darurat itu secara tidak langsung memberi laluan kepada PRN Sarawak diadakan setelah tempoh mandat kerajaan negeri Sarawak tamat pada 6 Jun lepas.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 5 November mengumumkan bahawa Dewan Undangan Negeri Sarawak telah terbubar berkuat kuasa 3 November, selaras perkenan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus memberi laluan kepada PRN Sarawak.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda