
PUTRAJAYA, 26 Nov (Malaysiaaktif) – Sime Darby Property Bhd (Sime Darby Property) kini lebih optimistik terhadap prospek sektor hartanah dari awal tahun ini disokong oleh jangkaan kukuh jualan melebihi RM2.4 bilion pada 2021.
Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Azmir Merican berkata setakat ini, syarikat itu telah mencapai RM1.9 bilion atau 80 peratus daripada sasaran jualan tahun kewangan 2021.
“Itu adalah penunjuk prestasi dan momentum. Kami yakin dapat mencapai melebihi sasaran jualan ditetapkan dan mempunyai keupayaan digital dalam melaksanakan jualan dalam talian, saya berpendapat pengguna mudah untuk berurus niaga untuk produk kami yang mereka tahu dan faham.
“Selain itu, tempahan yang kukuh dan margin keuntungan yang stabil pada kira-kira 25 peratus, ini merupakan faktor penting yang membuktikan kami masih cekap dalam persekitaran ini,” katanya dalam taklimat media secara maya mengenai keputusan kewangan berakhir 30 September, 2021 bagi suku ketiga Sime Darby Property, hari ini.
Selain itu, Azmir berkara syarikat itu juga memiliki stok siap tidak terjual yang sangat rendah iaitu sekitar RM400 juta, keadaan itu masih terkawal.
Mengulas lanjut mengenai jualan, beliau berkata syarikat itu mampu memperoleh jualan memuaskan kerana ia mempunyai produk yang betul dan harga sesuai dengan permintaan serta penawaran untuk pasaran sasaran yang betul walaupun situasi kewangan rakyat terjejas dalam tempoh pandemik ini.
“Kami masih mempunyai pelbagai kategori pembeli, merangkumi keluarga kecil hingga jumlah ahli keluarga yang besar… mereka masih datang ke perbandaran kami.
“Saya berpandangan bahawa pandemik telah menyebabkan orang ramai berfikir mengenai pembangunan hijau dan holistik semasa membuat keputusan. Saya juga berpendapat terdapat permintaan terpendam untuk membeli rumah, kini keadaan lebih stabil berbanding enam bulan lalu.
“Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa adalah rendah, sebanyak 1.75 peratus dan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang berlangsung sehingga akhir tahun ini turut membantu jualan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, memandangkan tiada HOC tahun depan, Azmir menjangkakan permintaan umum untuk hartanah akan menjadi sederhana terutamanya pada suku pertama 2022 dan beransur pulih semula pada suku berikutnya.
“Tetapi bagi tempoh jangka panjang, kami tetap optimis kerana kami mempunyai produk perindustrian baharu yang sihat, produk tanah kediaman yang bagus dan lebih banyak produk bersepadu, perbandaran yang sesuai dan harga berpatutan.
Bagi suku keempat 2021, pemaju hartanah itu melancarkan produk bernilai RM1.6 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV) yang terdiri daripada 1,856 unit dengan kediaman bertanah sebagai produk utama, diikuti oleh produk perindustrian baharu dan hartanah kediaman tinggi.
Bagaimanapun, belum ada sasaran jualan yang ditetapkan untuk tahun 2022, kata Azmir.
— BERNAMA