
Laporan/foto: Nor Emylia Lot / Tengku Saipulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 29 Nov (Malaysiaaktif) – Kenaikan harga sayur-sayuran sehingga 50 peratus meresahkan ramai pengguna ketika ini.
Kenaikan harga sayur-sayuran dikatakan berpunca daripada pelbagai faktor antaranya keadaan cuaca dan kekurangan bekalan daripada pembekal sedia ada telah menjejaskan bukan sahaja kepada pemborong malah kepada peruncit.
Peniaga, Sarimah Hassan, 52, berkata peningkatan mendadak harga sayuran berlaku sejak tiga minggu yang lepas apabila bekalan sayur-sayuran semakin sedikit dibekalkan oleh pemborong.
“Sayuran yang sukar didapati ketika ini adalah kubis bunga dan brokoli,” katanya.
Menurut Sarimah, harga kubis bunga yang diperoleh daripada pemborong sebelum ini antara RM11 dan RM12 sekilogram, kini meningkat kepada RM18 sekilogram.

Orang ramai berasa gusar dan tertekan dengan kenaikan sayur-sayuran secara mendadak sejak tiga minggu yang lalu.
“Sama juga dengan brokoli, harga daripada pemborong sebelum ini sekitar RM12 sekilogram dan kini harga melambung sehingga RM18 sekilogram.
Jadi, kami terpaksa jual RM20 sekilogram,” katanya ketika ditemui di Pasar Batu Enam, di sini, hari ini.
Pemilik Kedai Makan, Rabiatullah Adawiyah, 58, berkata beliau kini menjadi serba salah apabila harga makanan di kedainya perlu dinaikkan berikutan harga sayuran-sayuran yang naik sehingga sekali ganda dari kebiasaan.
“Kami sebagai pemilik kedai makan menjadi gusar kepada pelanggan kerana perlu menaikkan harga makanan, kesan daripada harga sayur-sayuran yang semakin mahal di pasaran ketika ini,” katanya.
Katanya, sebagai peniaga, mereka bimbang seandainya keadaan ini berterusan kerana ia akan memberi kesan secara tidak langsung kepada jualan seharian mereka.
“Para pelanggan akan kurang datang ke kedai gara-gara harga makanan yang semakin mahal,” katanya dengan nada resah.
Bagi seorang pengguna, Kamal Azdlan, 45, berkata sudah hampir dua minggu beliau tidak membeli sayur-sayuran untuk keluarganya, kerana harga sayur ketika ini sangat tidak munasabah.

Kamal Azdlan berharap pihak berwajib mengambil langkah segera menangani isu kenaikan harga dengan kadar segera.
“Harga sayur-sayuran ketika ini sangat tidak wajar, kerana terlalu mahal berbanding kebiasaan,” katanya ketika ditemui ketika membeli barangan basah.
“Kita berharap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan bagi mengelakkan berlakunya peniaga menaikkan harga jualan secara berlebihan,” katanya.