
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 naik kepada 5,020 semalam daripada 4,965 kelmarin menjadikan jumlah kumulatif kes pandemik itu dalam negara kini berjumlah 2,673,019 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 5,020 kes harian yang dilaporkan semalam, 98.3 peratus atau 4,933 kes adalah daripada Kategori Satu dan Dua, manakala 1.7 peratus atau 87 kes lagi adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima.
Menerusi kenyataan situasi semasa COVID-19 semalam, Dr Noor Hisham berkata kes sembuh pula mencatat 4,525 kes menjadikan keseluruhan kes yang telah pulih adalah 2,581,395.
Selain itu Dr Noor Hisham berkata 359 kes disahkan pesakit COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 159 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Sebanyak 13 lagi kluster baharu dikesan hari ini menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di seluruh negara adalah sebanyak 245 kluster.
Beliau berkata nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) Malaysia setakat kelmarin pula adalah 0.99.
Maklumat terperinci lain berkaitan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.
— BERNAMA