
Laporan/Foto : Malini Md Yunos/Sapar Sutir (Rembau)
REMBAU, 31 Dis 2021 (Malaysiaaktif) – Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan merangkap Ahli Parlimen Rembau, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin hadir di majlis penyampaian bantuan wang ihsan banjir Keluarga Malaysia di Masjid Lubok China. Seramai 118 orang mangsa banjir yang terjejas dalam bencana banjir dalam kawasan DUN Kota.menerima wang tunai sebanyak RM1000.00 ringgit sepertimana yang diumumkan Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri baru-baru ini.
“YAB Perdana Menteri telah mengarahkan untuk selesaikan pembayaran wang ihsan pada minggu ini tak perlu tunggu masa yang lama dan kurangkan birokrasi dan terima kasih kepada ADUN Kota yang telah dapat dan sahkan senarai mangsa banjir dan menghantar kepada Pejabat Daerah Rembau disahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan segera dihantar kepada Pejabat Pembangunan Negeri untuk disahkan dan dikeluarkan bayaran pada hari ini”, katanya dalam ucapan.
“Inilah respon dan tindakbalas yang diperlukan bila berlakunya bencana kerana mangsa banjir perlukan bantuan secepat mungkin disebabkan itu, hari ini saya turun sendiri untuk selesaikan pemberian RM1000.00 ringgit daripada kerajaan diharapkan dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban.”
Mangsa banjir di kawasan DUN Kota menzahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas pemberian bantuan wang ihsan banjir sebanyak RM1000.00 ringgit yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri selepas bencana banjir yang melanda kampung seminggu yang lalu.
Menurut Halimah Ibrahim, 45, hanya rasa bersyukur dan terima kasih dapat diungkapkan atas pemberian bantuan wang ihsan dari kerajaan. “Saya berterima kasih atas bantuan wang tunai hari ini sebab dengan duit yang ada boleh menampung sedikit perbelanjaan membeli barang keperluan rumah yang musnah dalam banjir. Kerajaan sangat prihatin tentang kepayahan yang mangsa banjir hadapi dengan mengumumkan bantuan wang ihsan demi kebajikan meringankan beban mangsa yang terjejas dan terkesan dengan banjir.”
“Kawasan kami tinggal memang kerap berlaku banjir kilat apabila hujan lebat namun banjir yang berlaku baru-baru ini luar jangka dan luar biasa kerana pekan Lubok China yang tidak pernah dinaiki air sejak 1971 turut tenggelam pada kejadian minggu lalu. Saya bersyukur tiada insiden kehilangan nyawa dan sentiasa semak suasana cuaca semasa METMalaysia,” katanya ketika ditemui selepas majlis.
Turut hadir Dato’ Seri Dr. Hj. Awaludin Said, ADUN Kota dan Tuan Roslan bin Mat Nong, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sembilan.
-FF