
Laporan/foto: Nurul Wahida Mohd Noor (Pulau Pinang)
PERMATANG PAUH, 8 Jun (Malaysiaaktif) – Penjagaan kesihatan gigi amat penting bagi mencegah kerosakan gigi dan penyakit gusi bermula dari kanak-kanak lagi. Memilik gigi serta gusi yang sihat membolehkan seseorang itu mengunyah makanan dengan selesa dan bertutur dengan jelas.
Amalan penjagaan kesihatan pergigian yang merangkumi langkah-langkah pencegahan antaranya memberus gigi sehingga bersih setiap hari terutama selepas makan dan sebelum tidur malam, malah pemilihan dari segi makanan seimbang juga sangat membantu dalam penjagaan kesihatan gigi.
Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Seberang Jaya, Dato’ Dr. Haji Mas Rosemal Hakim, berkata, program yang dianjurkan merupakan anjuran bersama dengan Klinik Pergigian Seberang Jaya.
“Program ini merupakan acara tahunan secara berkala bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan mengenai kesihatan gigi kepada anak-anak istimewa.
“Ia juga memberi peluang dan ruang kepada anak-anak istimewa ini untuk bersosial serta berkomunikasi dengan orang awam agar lebih berkeyakinan apabila berada dalam komuniti setempat,” katanya.
Beliau juga menyarankan ibu bapa untuk membawa anak-anak khususnya mereka yang mempunyai anak-anak istimewa untuk melakukan pemeriksaan pergigian secara berkala bagi mengurangkan risiko terjadinya karies gigi dan juga segera mendapatkan nasihat daripada pakar yang bertauliah jika berlaku kecederaan gigi atau mengalami masalah pergigian.
-ZS-