
Laporan/foto: Fasharina Kholil/M. Syafiq Razi (Sik)
BALING, 12 Jul (Malaysiaaktif) – Jambatan sementara jenis Panel Kelului Bermodular ‘Old Bailey Bridge’ siap sepenuhnya pada 9 Julai lalu bagi menggantikan jambatan runtuh yang menghubungkan antara Kampung Iboi dan Kampung Masjid Iboi selepas dibawa arus deras dalam tragedi kepala air dan banjir Isnin lalu.
Jambatan tersebut mengambil masa 36 jam sahaja untuk disiapkan sebelum dibuka kepada penduduk tempatan.
Kerja-kerja pembinaan jambatan tersebut dilaksanakan oleh 20 kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah serta dibantu 10 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut salah seorang penduduk yang ditemui di sini baru-baru ini Mohd Kamal Tahak, 35, bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus menyiapkan pembinaan jambatan sementara ini.
“Pembinaan jambatan ini memudahkan urusan penduduk di beberapa kampung yang sering menggunakan laluan berkenaan.
“Kami di Iboi juga menggunakan jambatan ini untuk ke masjid kerana masjid terletak di seberang sungai,” ujarnya lagi.
Kamal yang juga salah seorang mangsa banjir, mengalami kerugian lebih RM200 ribu selepas kedai bakeri milik isterinya ranap dan dihanyutkan kepala air.
-ZS-