
Laporan/foto: Sarinah Ahmad/Andi Abdul Rohim (Manjung)
PULAU PANGKOR, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Konvoi Jalur Gemilang Tour Island sempena Program Merdeka@Komuniti Pangkor disambut meriah oleh masyarakat pelbagai kaum dan peringkat umur di Pantai Pasir Bogak, di sini semalam.
Menurut Pegawai Khas ADUN Pangkor Datuk Azri Jaafar program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dan Komuniti Keluarga Malaysia itu amat membanggakan kerana ia dijayakan oleh pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar sekolah, kanak-kanak Tabika serta orang perseorangan.
“Ini membuktikan wujud kerjasama baik dari semua pihak sekaligus ia berjaya menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini,” tambahnya.
Wakil Persatuan Bukan Kerajaan Pulau Pangkor yang juga Ahli Majlis Perbandaran Manjung Zon 1 (Pangkor) Tuan Haji Asmadi Teh turut menyatakan aktiviti konvoi tersebut berjaya mengumpul hampir 1,000 peserta selain melibatkan pelbagai kenderaan termasuk motosikal, basikal dan kereta sewa.
-ZS-