
Laporan/foto: A.Prabagaran Assaithampi (Petaling)
SHAH ALAM, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Professor Datuk Ts Dr Roziah Mohd Janor berkata sejarah telah mencatatkan bahawa Malaysia melalui pelbagai peristiwa getir sebelum dan selepas merdeka sehingga mematangkan negara ini.
Menurutnya ancaman komunis, konfrantasi dengan Indonesia, ketegangan antara kaum, serangan spekulasi matawang, kemelut politik dan terkini wabak COVID-19 adalah beberapa contoh cabaran yang telah dilalui Malaysia.
“Ketika banyak negara lain yang merdeka lebih dahulu tersungkur tewas kepada cabaran masing-masing, Malaysia berjaya mengatasinya satu persatu,” katanya semasa merasmikan Program Bicara Tokoh bersama bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, di Anjung Sri Budiman UiTM Shah Alam pada Selasa.
Kata beliau, keadaan yang sama berlaku di UiTM apabila menghadapi cabaran getir bermula sebagai Institut Teknologi MARA (ITM) namun kini menjadi UiTM yang berfungsi dengan kemudahan yang setanding dengan universiti-universiti lain di rantau ini dan dunia.
“Dahulu sektor pendidikan serba kekurangan namun hasil kemerdekaan dan kerja keras seluruh rakyat, kita merasai kemudahan-kemudahan sebagaimana yang kita lihat pada hari ini,” jelasnya.
-ZS-