
Laporan/foto: Salina Hasan/Hafizul Adzahari (Alor Gajah)
MACHAP JAYA, 30 Ogos (MalaysiaAktif) – Aktiviti berkonvoi merupakan acara tahunan bagi DUN Machap Jaya dalam memeriahkan suasana bulan Kebangsaan.
Melalui program ini, mesej mengajak orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing dapat disebarkan secara terus kepada masyarakat.
Kelainan yang dibawa kali ini adalah dengan mengadakan Pertandingan Mercu Tanda Merdeka dan Persembahan Keluarga Malaysia.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka merangkap ADUN Kawasan Machap Jaya, Ngwe Hee Sem, pertandingan-pertandingan yang telah dirancang sebulan awal merupakan satu kesepakatan yang dibuat bagi menceriakan kawasan dengan kibaran Jalur Gemilang di setiap lokasi hentian (checkpoint) yang mewakili Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Machap Jaya.
“Selain itu, bagi acara Persembahan Keluarga Malaysia berjaya memaparkan situasi harmoni keluarga Malaysia bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama,” ujar beliau yang turut menyertai konvoi dengan menaiki motorsikal.
-ZS-