Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Kuih Bulan Halal Dapat Sambutan Orang Labuan

By 30 September 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 30 Sep (Malaysiaaktif) – Kuih bulan merupakan sejenis kuih tradisional masyarakat Cina yang semakin diterima masyarakat pelbagai kaum. Namun kadangkala masih ada keraguan terutamanya bagi masyarakat Islam untuk membeli kuih bulan yang dijual di pasaran.

Situasi itu membuatkan Datin Stacy Lee Laye Ying@Nurul Syafiqah Lee Anuar, 31, mengambil inisiatif untuk menjadi pengeluar kuih bulan halal yang pertama di pulau itu.

“Kuih bulan mempunyai keunikan tersendiri dan ia adalah makanan tradisional kaum Cina terutamanya semasa Perayaan Kuih Bulan dan setiap tahun kuih bulan diimport dari luar Labuan. Alangkah baiknya kalau kita dapat menikmati kuih bulan buatan tempatan.

“Alhamdulillah, ia semakin diterima oleh komuniti Labuan daripada pelbagai lapisan bangsa dan umur terutamanya yang beragama Islam yang selama ini rata-rata merasa ragu untuk mencuba kuih bulan,” katanya semasa ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau turut berharap agar kuih bulan keluarannya lebih dikenali agar lebih ramai yang dapat merasai keunikan kuih tradisi Cina itu sekaligus merapatkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Saya akan mempertingkatkan jaringan dengan memperkenalkan kuih ini kepada orang ramai dengan mempromosinya melalui platform media sosial selain meletakkannya di beberapa gerai jualan ternama di Labuan,” katanya yang juga lepasan peserta kursus  membuat kek, roti, pastri dan kuih-kuih tradisional ‘Quick Win Bakery 2022’ anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Labuan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda