
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Sistem Aduan Suri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempermudah penyaluran dan pengurusan aduan pengguna.
Menurut Timbalan Menteri KPDN Senator Fuziah Salleh melalui mekanisme itu pengadu hanya perlu mengimbas Kod QR dan aduan akan terus disalurkan ke aplikasi Whatsapp aduan KPDN.
“Kementerian mengambil langkah untuk melancarkan semula atau ‘repromoting’ saluran-saluran aduan kepenggunaan sedia ada dengan menambah baik sistem aduan agar lebih mesra pengguna.
“Penjenamaan semula semua platform aduan ini diharap dapat disebar luas manfaatnya kepada seluruh masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam sempena Pelancaran Aduan Suri, di sini semalam.
Tambahnya, pelancaran itu berfokuskan kepada suri rumahtangga, yang berurusan dengan pembelian barang keperluan secara harian, dan berdepan secara langsung dengan sebarang isu kenaikan harga yang melampau serta kekurangan bekalan.
“Sejak Aduan Suri dilancarkan, sejumlah 1,422 aduan diterima melalui aplikasi ini sehingga 28 Februari 2023 dan 666 daripada pengadu adalah wanita,” jelasnya.
Pelancaran Aduan Suri merupakan sebahagian pengisian beliau semasa melakukan lawatan kerja selama sehari ke Labuan yang berakhir semalam.
-ZS-