Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

LUAS Kesan Pencemaran Diesel di Sungai Gong

By 28 April 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/LUAS

SHAH ALAM, 28 Apr (Malaysiaaktif) – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengesan pencemaran bau seakan diesel dengan kadar satu ton di Sungai Gong, Rawang sekitar pukul 1.30 petang kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor Hee Loy Sian, berkata LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air (insiden yang berpotensi menyebabkan henti tugas LRA).

“Siasatan segera LUAS menemukan sebuah jentera jengkaut telah diletakkan di tebing Sungai Gong dengan anggaran jarak 150 meter daripada sungai dan berhampiran sebuah premis kilang.

“Jentera tersebut dikenalpasti digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pemasangan gabion untuk tujuan pengukuhan tebing sungai dan dikenalpasti tanpa kelulusan serta tidak mengikut piawaian kerja yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Loy Sian, jentera tersebut amat berisiko tinggi mengakibatkan pencemaran seperti tumpahan minyak.

“LUAS telah mengarahkan pengendali jentera tersebut mengalihkan jentera terlibat serta merta dari tebing sungai kerana berpotensi menyebabkan pencemaran dan gangguan kepada operasi Loji Rawatan Air (LRA) utama negeri iaitu LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2, dan SSP3.

“Selain itu, kerja-kerja penyemburan menggunakan rawatan biologikal menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) juga dilakukan sebagai tindakan kawalan dan pencegahan serta pemuliharaan agar tiada sebarang implikasi kepada Sungai Gong,” jelasnya.

Katanya, insiden tersebut berjaya diatasi dan tiada sebarang gangguan operasi LRA dilaporkan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda