
Laporan/foto: Zaidi Jamin/Siti Laili (Sabah)
KOTA KINABALU, 18 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 170 peserta terdiri kalangan pakar perubatan, pegawai serta jururawat perubatan seluruh Sabah hadiri Kursus ‘Dementia Clinical Practice Guidelines Updates 2023’ Peringkat Negeri Sabah.
Menurut Ketua Unit Geriatrik Hospital Queen Elizabeth (HQE) selaku penyelaras kursus, Dr. Gordon Pang Hwa Mang, pendedahan berkaitan garis panduan (CPG) kepada peserta amat penting bagi memastikan maklumat berkaitan penyakit demensia yang juga dikenali nyanyuk lebih menyeluruh.
“Penyakit demensia umumnya penyakit berkaitan sindrom kemerosotan fungsi otak secara berperingkat yang menjejaskan kemahiran berfikir sekaligus memberi kesan dan gangguan kepada aktiviti harian.
“Tanda awal penyakit demensia yang kerap melanda warga emas berumur 60 tahun dan ke atas termasuklah hilang daya ingatan, perubahan emosi secara tiba-tiba, serta hilang daya menilai,” ujarnya pada Kursus ‘Dementia Clinical Practice Guidelines Updates 2023’ Peringkat Negeri Sabah, di sini pada Selasa.
Tambahnya, para peserta kursus turut dilatih dan didedahkan mengenai kaedah perawatan dan perubatan merangkumi pengurusan demensia dalam aspek penilaian dan diagnosis, faktor risiko, rawatan serta rujukan dan susulan.
Kursus anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dengan kerjasama Unit Geriatrik, Jabatan Psikiatri dan kesihatan Mental dan Jabatan Kesihatan Awam Negeri Sabah, antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta berhubung perawatan terkini serta Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) mengenai Pengurusan Pesakit demensia.
-ZS-